Sempena kehadiran bulan Ramadhan 1436, bulan yang penuh dengan keberkatan ini, Panitia Pendidikan Islam bersama Unit jQAF Sekolah Kebangsaan Hutan Kampong telah merangka beberapa aktiviti agar dapat memenuhi kalendar bulan yang mulia ini.Inisiatif ini adalah hasil gerak kerja berpasukan pihak pentadbir serta guru-guru bagi menjadikan aktiviti yang berfaedah ini salah satu acara tahunan didalam takwim SK Hutan Kampong.Antara aktiviti yang telah dan sedang berlangsung di sepanjang bulan Ramadhan ini ialah :
1) Program Istiqbal Ramadhan
Hari : Rabu
Tarikh :17 Jun 2015
Tempat : Dewan SK Hutan Kampong
2) Program Ihya` Ramadhan
(i) Tazkirah Ramadhan
Masa : Waktu rehat tahap 1
Setiap hari sepanjang bulan Ramadhan
Tempat : Dewan SK Hutan Kampong
(ii) Tadarus Al-Quran dan Surah Lazim
Masa : Waktu rehat tahap 2
Setiap hari sepanjang bulan Ramadhan
Tempat : Surau Al-Falah, SK Hutan Kampong
Mudah-mudahan aktiviti-aktiviti ini akan mendatangkan manfaat kepada semua murid serta warga SK Hutan Kampong sekaligus memperoleh ganjaran daripada Allah swt.
SEKOLAH KEBANGSAAN HUTAN KAMPONG
KATA-KATA ALUAN PUAN GURU BESAR SKHK
"1 MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
Assalammualaikum wbt , Selamat Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Alhamdulillah, dengan izin Allah swt kita terus diberikan peluang untuk kembali ke SKHK bagi meneruskan usaha murni dalam mendidik anak bangsa. Semoga warga pendidik sekalian sentiasa dalam kesejahteraan dan bersedia untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh berintegriti.
Tahun 2014 telah meninggalkan kita dengan catatan sejarah kecemerlangan hasil kerja sepasukan. Kita mampu mengungguli dan meraih kegemilangan. Tahun 2015 akan lebih mencabar dan kita semua perlu sentiasa siap siaga bagi memastikan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksana dengan jayanya. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 yang dilancarkan akan menjadi panduan kepada kita dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Pendidikan adalah senjata yang paling berkesan untuk mengubah dunia. Tugas kita amat murni kerana melibatkan semua rakyat Malaysia. Pelan itu bukan sahaja bertumpu kepada pengetahuan dan kemahiran, tetapi menerapkan nilai-nilai yang menjamin masa depan negara dan pendidikan di Malaysia akan menjadi antara yang terbaik di peringkat global. Sebagai penjawat awam dan agen pelaksana dasar kerajaan, kita perlu memahami setiap dasar dan berusaha memastikan agar matlamat dasar-dasar tersebut tercapai manakala manfaatnya dinikmati bersama.
Terima kasih kepada mantan guru besar SKHK yang telah memyediakan landasan kecemerlangan dan juga semua warga SKHK yang sentiasa bersama merealisasikan matlamat sekolah. Sebagai guru, kita perlu berinovasi dan kreatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita sesuai dengan visi dan misi KPM serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan selari dengan cabaran dunia globalisasi. Cabaran global memerlukan kita mempunyai keunggulan hasil inovasi dalam pedagogi. Keunggulan ini yang ditentukan oleh cara kurikulum dapat dilaksanakan. Insentif dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap bidang pendidikan diharap dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga SKHK untuk bekerja dengan lebih tekun dan optimis dengan potensi diri masing-masing. Setiap warga SKHK adalah penyumbang kepada kejayaan sekolah, PPD Kota Setar, Negeri Kedah dan seterusnya kecemerlangan pendidikan negara.
Para Pendidik SKHK yang dihormati,
Keberhasilan murid-murid kita yang terdiri daripada latar belakang yang pelbagai adalah menjadi tanggungjawab kita. Mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang kita dalam usaha mendapatkan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan serta keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mereka selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita kumpulkan segala kekuatan dan atasi sebarang kelemahan, bersaing secara sihat dan berkongsi secara pintar dengan rakan-rakan guru di sekolah- sekolah lain ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah.
Saya mengharapkan agar segala apa jua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan penuh tanggungjawab demi mencapai hasrat KPM untuk menjadikan sekolah di Malaysia khususnya SKHK ini unggul dan mempunyai generasi terbilang pada masa akan datang. Marilah kita melaksanakan dengan penuh iltizam dan penuh kesedaran bahawa apa yang kita rancang hari ini akan memberi impak yang baik kepada anak didik kita. Usaha yang berterusan dan penambahbaikan akan sentiasa dilaksanakan di samping memperkukuhkan usaha dengan agenda yang sedia ada. Semoga usaha yang ikhlas, tekun dan penuh komitmen akan diberkati Allah dan SKHK akan lebih cemerlang dan sentiasa meneraju. Wassalam.
”BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
(FAUZIAH BT MOHD HANAFIAH)
Guru Besar,
SK HUTAN KAMPONG
Langgan:
Catatan (Atom)